Tuesday, January 8, 2013

Aku Cabar Diriku dan Dikau Mencari Soleh dan Solehah Dalam Diri Sendiri!



Tidak usah di harap wanita berpurdah, bertudung labuh untuk menjadi isterimu, dimatamu mereka sempurna, tanpa ada sedikit pun cela, ambillah wanita yg pada pandanganmu biasa, jadikan mereka wanita yg hebat, sesungguhnya di dalam diri setiap wanita itu ada 'kesolehannya'...buat kaum ADAM, "ku cabar solehmu untuk mencari kesolehan mereka".

Sering kedengaran dan kelihatan di laman-laman mukabuku, twitter, blog dan saluran alam maya yang lain ayat-ayat cinta Islamik seperti di atas ini. Dahulu ana juga turut teruja apabila membaca status begini. Namun hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Alhamdulillah, Allah memberikan taufiq hidayah kepada diri yang serba hina ini untuk melihat erti dunia dari sudut yang lebih jauh dan lebih bermakna, insyaAllah.

Ana menulis ini bukan kerana ana seorang yang bertudung labuh ataupun berpurdah tetapi sebagai hamba Allah dan sahabat seIslam yang berasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk berkongsi serba sedikit ilmu dan pandangan yang serba naif ini. mohon kemaafan dipinta andai mengguris hati para muslimin dan muslimat di luar sana.

Wahai sahabat seperjuangan yang ana kasihi, sedarlah bahawa diri kalian telah ditipu bulat-bulat oleh janji manis yang tak seberapa manis ini. Ada 3 perkara yang bakal ana utarakan dan kongsikan pada pagi yang dirahmati Allah ini berdasarkan contoh ayat di atas tadi. Semoga kita sama-sama dapat mengambil ibrah dan pengajaran terhadap isu yang bakal ana bawakan seketika nanti.




1) Stigma/pemikiran masyarakat sekarang terutama para syabab (remaja) sekalian.

Dapat kita lihat ayat pertama yang berbunyi sebegini.

Tidak usah di harap wanita berpurdah, bertudung labuh untuk menjadi isterimu, dimatamu mereka sempurna, tanpa ada sedikit pun cela 

Kadangkala terbit rasa hati untuk berasa kesal, kecewa dan marah apabila melihat ayat seumpama ini. Ana mengakui masyarakat hari ini berfikrah sedemikian. Muslimah yang bertudung labuh, muslimah yang berpurdah  dianggap “sempurna” walhal seperti yang kita tahu, seperti yang kita maklum tiada manusia dalam dunia ini yang sempurna terutama dari segi akhlak dan ibadahnya. Meskipun pakaian muslimah sebegini insyaAllah ditutup aurat mengikut syar’ie tetapi itu tidak bermakna kalian di luar sana dan ana sendiri juga mempunyai kuasa untuk menghakimi muslimah-muslimah sebegini. Pandanglah kami sebagai manusia biasa seperti kalian juga. Kami juga hina, kami juga melakukan dosa-dosa tetapi kami ingin berusaha untuk mencapai mardhatillah, insyaAllah. Usahlah lagi mengganggap kami ini seperti sutera putih yang berkilauan dek cahaya memancar kerana pada hakikatnya, pada realitinya kami juga penuh tompok-tompok hitam yang terselindung. Berhentilah menghakimi, lihatlah diri sendiri.

2)  Carilah dalam dirimu SOLEH itu terlebih dahulu sebelum kalian bermimpi untuk membentuk keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah!

ambillah wanita yg pada pandanganmu biasa, jadikan mereka wanita yg hebat, sesungguhnya di dalam diri setiap wanita itu ada 'kesolehannya'...buat kaum ADAM, "ku cabar solehmu untuk mencari kesolehan mereka".

Wahai kaum adam yang dikasihi Allah, bagi ana yang serba daif ini, usah disahut cabaran seperti frasa di atas ini. Mengapakah? Adakah ana ingin bersifat berdiskriminasi? Oh tidak. Tidak ya sahabat. Ana yakin di luar sana ada sesetengah lelaki yang sangat suka membaca ayat-ayat seperti ini. Umpamanya seperti diberi “amanah” untuk membentuk muslimah biasa menjadi solehah. Tetapi sedarkah kalian, sedangkan untuk solat berjemaah 5 waktu sehari semalam pun kalian liat, nak buka Al-Qur’an pun malas, inikan pula tiba-tiba bersemangat waja untuk mencari bakal ZAUJAH yang biasa untuk membawanya ke syurga. Bagaimanakah kalian bisa menegakkan Islam dalam bakal keluargamu andai Islam dalam dirimu masih belum cukup ampuh tertegak? Sila renung dan amati. Fenomena sebeginilah yang menyebabkan muslimah yang biasa ini menyambut “salam cinta yang tidak bersemi” daripada sang adam yang kononnya ingin membawanya bersama-sama melayari mahligai cinta di pintu syurga! Oh, sangat romantik. Kini bermulalah bait-bait cinta Islamik. Jeng! Jeng! Jeng! Kini, saban hari, inbox mukabuku, inbox handphone, whatsapp dan segala macam alat telekomunikasi ini penuh dengan salam cinta yang penuh pura-pura. Maka tenggelamlah anak adam ini dalam dunia fantasi ciptaan sendiri dan syaitan laknatullah bertepuk tangan, bersorak sendiri kerana dapat menipu dan membutakan hati kita yang hina ini. Astagfirullahal’azim. Wake up lah para adam sekalian! Sahut cabaran ana yang satu ini. “Carilah dalam dirimu SOLEH itu terlebih dahulu sebelum kalian bermimpi untuk membentuk keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah!” Kita mampu mencipta angan-angan untuk punya keluarga bahagia, isteri solehah penyejuk mata dan zuriat yang soleh dan solehah tetapi realitinya 1001 cubaan dan dugaan perlu kita tempuh terlebih dahulu sebelum kalian berhasil memilikinya. Dan kita perlu mempunyai ILMU dan PENGALAMAN untuk menjadi nakhoda untuk melayari bahtera alam pernikahan. Maka, wahai saudaraku, berangkatlah kalian ke mana jua untuk menimba ilmu agama dan seumpamanya dan kembalilah sebagai mujahid Islam yang dinantikan. Berhentilah hidup dalam kepura-puraan dan berhentilah daripada bercakap tak serupa bikin. Jika kalian benar ikhlas menyayangi kami muslimahkurang biasa, biasa atau luar biasa ini, maka buktikan pada kami bahawa kalian sedang berusaha untuk mendapatkan redha dan rahmat Ilahi. Bukan hanya sekadar bermesej cinta, berteka-teki dan bermain tarik tali!

3) Fenomena “bakal imam, bakal zauj, dan segala bakal yang tak terbakal.

Ana masih mengambil frasa yang kedua tadi sebagai rujukan, tetapi sekarang ana tujukan kepada ana diri sendiri terlebih dahulu dan kalian muslimah yang ana cintai kerana Allah Ta’ala. Ukhti yang ana kasihi, renunglah kembali tujuan kita dilahirkan di dunia yang fana ini. Andai kalian yang sedang membaca ini merasakan diri enti dalam kategori muslimah biasa atau kurang biasa maka, bangkitlah! Usah ditunggu lagi lelaki soleh untuk membimbingmu. Tak semua wanita di dunia ini yang berpeluang bersuamikan lelaki soleh atau paling komanlah lelaki baik yang memelihara agamanya. Malah terlalu ramai wanita di dunia ini yang langsung tidak bersuami walaupun umurnya sudah menjengah hampir separuh abad. Dan ingatlah, mati itu pasti dan bila-bila sahaja malaikat Izrail datang memanggil untuk mencabut nyawa kita tetapi jodoh dan cinta manusia itu belum tentu lagi Allah catatkan untukmu di alam dunia! Allahuakbar! Sememangnya sukar untuk kembali kepada fitrah beragama, ana mengakui sendiri kerana begitu banyak ujian dan cobaan daripada Allah apabila kita berazam dan berusaha untuk berhijrah kepadaNya dan RasulNya secaratotal. Hebatnya Allah Ta’ala ini, Dia tahu hati kita ni macam mana dan Dia hanya akan menguji titik TERLEMAH kita untuk melihat sebesar mana keimanan kita kepadaNya. Kita kata kita Islam, kita beriman, kita cinta Allah dan Rasul tetapi kenapa kita masih berada di takuk yang lama? Kenapa kita masih tidak menutup aurat? Kenapa tudung kita masih singkat? Kenapa kita masih membiarkan kaki kita ditiup angin tanpa stokin menutupi? Kenapa kita masih lengah-lengahkan solat? Cubalah berubah, sedikit demi sedikit. Istiqamah itu memang payah tetapi syurga itu manis sayang. Usah biarkan diri kita sebagai muslimah biasa lagi tetapi jadilah muslimah mukminah yang mampu menggoncangkan dunia. Allahuakbar! Dan nasihat saya kepada adik-adik, kakak-kakak dan rakan-rakan di luar sana, kurang-kurangkanlah daripada meletakkan status tentang “bakal imamku, bakal zaujku dan segala bakal yang tak terbakal”. Dari semasa ke semasa, makin banyak status sebegini bertebaran di alam maya. SubhanAllahi wa bihamdih. Tahukah ukhtiku sayang, dengan status jiwang ala cinta Islamik ini nyata menampakkan betapa rapuhnya hati kita umpama ketandusan kasih sayang. Nampak dan jelas di situ bahawa kita mudah terpengaruh dan sedang hanyut dibuai kelalaian dan kealpaan cinta yang belum pasti. Banyak lagi isu yang lebih penting untuk kita sama-sama janakan seperti isu PALESTIN, SYRIA, ROHINGYA dan lain-lain. Usah melemahkan diri kita dengan ayat-status cinta Islamik ini lagi. Jujur ana yang berpengalaman, ia sangat melalaikan dan merapuhkan! HasbunAllahu wani’mal wakiil. Andai kalian berasa kalian sudah mampu memikul amanah sebagai seorang isteri yang mithali yang mampu taat kepada suami sendiri, maka berbincanglah dari hati ke hati dengan walimu sayang. Fahamkan mereka tentang hasrat hatimu itu. Buktikan pada mereka bahawa kalian sudah bersedia melangkah ke alam yang lebih mencabar. Itu lebih membawa makna daripada hanya meletakkan status harian kita tentang cinta-bakal imam-yang tak tahu siapa dan dimana orangnya. Jika mahu nikah, maka bernikahlah! Carilah jalan sedayamu untuk melangkah ke alam baru itu. Tetapi mohon hold on dahulu angan-angan itu andai kalian sedar kalian tidak berupaya untuk menjejaki ke dunia yang satu itu. Dan marilah kita berusaha menjadi seperti Ummul Mukminun dan wanita muslimah pada zaman kegemilangan Islam yang dahulu, insyaAllah wa biiznillah.

Akhir kalam. yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu datangnya daripada kekurangan dan kehinaan ana sendiri. Semoga kita mampu berhijrah dan menjadi mujahid dan mujahidah yang dinanti, insyaAllah. Maafkan ana. Ana juga sedang berusaha kembalikan diri kepada fitrah. Maka, lihat dan amati tulisan ana bukan menilai luaran siapa ana. Tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, buktikan pada diri, aku mampu menjadi muslim/muslimah sejati! Wallahu’alam.

1 comment:

  1. Assalam alaik,

    Benarlah tiada manusia sempurna. Pasti dicelah rohani sesiapa pun pernah melampaui batasan. Takkan terhenti melakukan kesilapan kesalahan dalam kesedaran ataupun tidak. Namun sesungguhnya harus beringat kita bukanlah anbiya', kita bukanlah maksum. Sesempurna manusia adalah pada akhlaknya, darjat kemuliaan seseorang pada ketakwaannya disisi Allah. Hanya Dia Maha Mengetahui.

    Oleh kerana tidak sempurna, maka harus sentiasa mengusahakan diri 'esok' menjadi lebih baik dari 'semalam'.

    Akan tetapi, oleh kerana fitrah manusia yang tidak akan terlepas daripada kesilapan, jika semua hanya menunggu diri sempurna baru akan bernikah, nescaya tiada siapa akan berkahwin. Akan berkuranganlah manusia.

    Selain itu, beruntunglah umat akhir zaman ini; yang dipenuhi pelbagai ujian, fitnah dan sebagainya. Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan, nescaya Allah akan mengujinya. Bagaimana boleh katakan diri beriman jika tidak pernah diuji? Dan turut beruntunglah mereka yang berpegang pada as-Sunnah. Nabi s.a.w. telah bersabda: "Siapa yang mengikuti sunnahku di saat rosaknya umatku, ia akan mendapat pahala seratus orang yang mati syahid." (HR Ibn Ady, at-Tabrani, al-Bazzar)

    Dan berkait dengan sebahagian daripada artikel ini, Nabi juga turut bersabda (yang bermaksud); berkahwin itu adalah sunnahnya, dan sesiapa yang benci sunnahnya (enggan/benci berkahwin) bukanlah dari kalangan umatnya.

    Memandangkan tiada manusia sempurna, maka harus saling bantu membantu; Saling melengkapkan. Kita gunakan metafora imaginasi ini: Bayangkan dua malaikat yang hanya ada sebelah sayap. Yang pertama hanya di belakang kanan. Dan sayap bagi yang kedua hanya di belakang kiri. Bolehkah terbang hanya dengan sebelah sayap sahaja? Ya! Sudah tentu sukar. Namun, mereka masih boleh terbang, sekira-kiranya kedua-duanya berpegang tangan dan saling bantu-membantu dan saling bergantung pada sayap malaikat yang lagi satu.

    Baiklah, kita kembali ke dunia realiti. Bayangkan malaikat tersebut sebagai manusia yang sentiasa bukan sempurna; ada kelemahannya. Oleh kerana kita telah dijadikan 'ahsani taqwim', maka sebaik-baik kejadian itu dapat dipergunakan bagi membantu melengkapkan yang lain (bakal pasangan). Itulah hakikat erti sebenar kalimah "Lelaki yang baik untuk wanita yang baik dan perempuan baik untuk lelaki baik..." (24:26)

    Sebaik-baik manusia pasti ada kelemahannya, seburuk-buruk manusia pasti ada kebaikannya. Perdengarkanlah pada kebaikan. Terimalah diri yang keburukan. Berpeganglah teguh pada as-Sunnah SAW, Sunnah Sahabat RA, dan sunnah khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyin.

    Akhir kalimah, izinkan saya memetik satu kata-kata masyur Imam Hasan al-Basri: "Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka sedikitlah orang yang memberi peringatan"

    Na'udzubillah. WalLahuA'lam. Wassalam.

    ReplyDelete