Monday, April 4, 2011

Kalam Seorang Sahabat Mujahidah~



Ana, Nadiah sahabat kepada Syakirah ingin mewakili beliau untuk memohon jutaan kemaafan kepada semua sahabat sahbati yang sedang membaca status fb ini dan memohon agar dihalalkan segala-galanya. Untuk pengetahuan semua, Syakirah telah selamat dikebumikan di bumi Anbiya' pagi tadi. Doakan arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Aminn...
Usai Nadiah menyempurnakan amanah daripada sahabat yang paling disayanginya dunia akhirat itu, dia terus beralih ke nota fb untuk menulis semua yang terpendam dalam nuraninya buat tatapan para pembaca dengan menggunakan account arwah sahabatnya itu...

Assalamualaikum wbt...
Pertama sekali, ana ingin memohon kemaafan kepada semua jika warkah ana ini telah menyakitkan hati mana-mana pihak yang sedang mahupun yang telah membaca warkah ini. Ana tiada niat untuk berbuat demikian tetapi ia seperti satu tanggungjawab ana untuk meluahkan apa-apa yang perlu.
Arwah Syakirah telah menghadapi penyakit yang sangat kritikal tetapi arwah hanya memberitahu sebilangan sahabatnya agar mereka dapat menyempurnakan amanah-amanahnya yang masih tidak sempat arwah selesaikan. Arwah menghidap PNEUMONIA kerana paru-parunya telah dijangkiti kuman dan semakin hari arwah semakin lemah tetapi arwah tetap cuba sedaya-upaya untuk berlagak seperti tidak berlaku apa-apa. Ditambahkan lagi dengan penyakit athmanya yang dahulunya seperti sudah tidak wujud tetapi semakin teruk terutama pada musim sejuk lepas di bumi Anbiya' ini.


Kuman tersebut telah merebak dan telah menyebabkan kesakitan pada tulang-tulang kaki dan tangannya. Jika sembilan tahun lalu, doktor pernah berkata kepada arwah jika dibiarkan, mungkin arwah akan kehilangan kedua-dua kakinya akibat kesakitan yang telah dialami yang berpunca daripada jangkita kuman tersebut. Sememangnya arwah Syakirah tidak menyangka bahawa penyakit yang difikirkan pulih itu telah kembali dan bakal meragut nyawanya.

Penyakitnya ini telah dirahsiakan daripada ana sendiri, ibu ayah dan keluarganya, bakal suaminya dan rakan-rakan yang lain tetapi alhamdulillah, ana tetap bersyukur kerana ana dan keluarganya masih sempat mengetahui berita ini sebulan sebelum arwah kembali ke rahmatullah. Arwah berkali-kali meyakinkan keluarganya dan ana sendiri yang arwah akan pulih seperti sedia kala dan meminta kami untuk tidak berasa risau. Arwah pernah memberitahu ana yang arwah mungkin tidak akan pulang ke Malaysia untuk tahun ini kerana ingin menuntut ilmu-ilmu Allah dan keluarganya telah meredhai dan merestuinya. Sememangnya arwah tidak kembali buat selama-lamanya ke tanah airnya.

Pemberian terakhir arwah untuk ana merupakan shawl labuh yang melebihi paras dada dan berwarna coklat legap. Sememangnya arwah sangat arif dengan sikap ana yang sejak dahulunya begitu teruja dengan fesyen-fesyen masa kini. Arwah pernah mengingatkan ana untuk memakai pakaian yang sempurna penutupan auratnya walaupun ingin berfesyen kerana Islam tidak melarang pengikut-pengikutnya untuk berfesyen selagi memenuhi syarat menutup aurat. Arwah pernah menyatakan kekesalannya tentang pemakaian muslimah zaman ini kerana ada kelompok yang masih tidak mengerti tentang cara-cara menutup aurat yang sebenar.
  1. Golongan yang memakai tudung tetapi tudungnya nipis dan jarang sehingga boleh menampakkan leher dan kadangkala rambutnya walaupun mereka berasa bahawa mereka sudah bertudung.
  2. Golongan yang memakai tudung tetapi tidak menutup keseluruhan dadanya yang boleh dilihat dari arah depan dan sisi. Adakalanya juga, terdapat golongan yang mempunyai tudung yang sempurna labuhnya tetapi mereka sengaja menyinsing sisi tudung tersebut sehingga paras bahu dan menampakkan bentuk dadanya walaupun dari arah sisi.
  3. Golongan yang memakai tudung tetapi memakai pakaian (baju, seluar slacks o jeans, blouse, dress dan seumpamanya)yang mengikut bentuk badan atau yang ketat dan jarang.
  4. Golongan yang memakai tudung tetapi memakai baju yang berlengan pendek atau yang berlengan panjang tetapi sengaja disisingkan (dilipat) ke atas.
Arwah juga pernah menghantar dalil-dalil Al-Qur'an yang berkaitan dengan penutupan aurat dan berharap agar semua mengambil berat tentang perintah ALLAH SWT ini.
firman Allah :
"Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, Karena itu mereka tidak di ganggu. dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(al-ahzab:59)

firmanNya lagi :

"...Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya,dan janganlah menampakkan perhiasan(auratnya) kecuali kepada suami mereka, ayah mereka, ........"
(an-Nur : 31)
Selain itu, arwah Syakirah juga telah beberapa kali memberi peringatan dan nasihat kepada sahbati-sahbatinya serta dirinya sendiri yang sering jua khilaf tentang pentingnya aplikasi Islam yang Ad-Din dalam kehidupan terutamanya dari segi pergaulan (ikhtilat) dalam kehidupan seharian kerana terdapat muslimin muslimat zaman kini bagaikan sudah melupakan adab-adab dalam pergaulan terutama sekali jika berlainan jantina kerana hal-hal sebegini boleh menjurus ke arah maksiat.
Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)

Antaranya:
  • Golongan yang tidak segan silu untuk berjumpa, makan dan bergelak-tawa bersama-sama walaupun bilangan hawa lebih ramai dari adam.
  • Golongan yang tidak kisah untuk berjalan antara adam dan hawa secara bersaing sambil berbual dan bergurau tanpa alasan yang munasabah (perkara penting dan segera)
  • Golongan yang pada mulanya berniat ingin belajar bersama-sama tetapi akhirnya lebih banyak membuat perkara yang lagha seperti bergosip atau mengusik dan menyakat yang berlainan jantina.
  • Golongan yang lebih suka menggunakan fb dan seumpamanya untuk berborak perkara-perkara yang tidak berfaedah dan bukan atas dasar kerja atau perkara- perkara yang penting seperti menyampaikan nasihat-nasihat dan pengajaran.
Arwah juga telah mengeluarkan dalil Allah SWT yang menunjukkan bahawa Islam sendiri telah memberikan panduan dan adab dalam ikhtilat yang perlu dihayati oleh pengikut-pengikutnya agar mereka tidak tersalah langkah sehingga mengundang dosa percuma dan paling menyedihkan jika mengundang dosa-dosa besar.
Firman Allah:
Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari
balik hijab.(al-Ahzaab : 53)
Dua minggu sebelum ajalnya tiba, ana terdetik untuk mengetahui perkembangan arwah Syakirah melalui ym ahli beitnya. Ana diberitahu oleh ahlul beitnya bahawa arwah sakit teruk pada minggu tersebut sehingga kerap tidak hadir ke kuliah. Perasaan ana semakin tidak keruan sehingga ana memberitahu ibu dan ayahnya tentang keadaannya. Namun, perasaan ini semakin pulih apabila ahli beitnya menyatakan bahawa arwah semakin sihat dan semakin bergiat cergas terutama ketika sesi kuliah dan kelas-kelas agama pada minggu berikutnya. Alhamdulillah...

Namun, dua hari sebelum berakhirnya hidup seorang mujahidah itu, arwah kembali sakit tetapi arwah tetap gagah untuk menelefon keluarganya, ibu bakal suaminya, guru-gurunya dan sahabat-handai termasuk ana. Dan yang paling menyedihkan apabila ana mendapat perkhabaran dari sahabat sebiliknya bahawa arwah telah berpuluh-puluh kali cuba menelefon bakal suaminya, Syakir tetapi tidak berjawab dan beliau langsung tidak telefon kembali. Ana tidak pasti mengapa ia terjadi tetapi mungkin ketika itu Syakir terlalu sibuk sehingga tidak sedar panggilan daripada arwah atau mungkin sengaja tidak menjawab panggilan tersebut, tetapi ketahuilah wahai Akhi Syakir, itu adalah panggilan-panggilan terakhir dari bekas-bakal isteri anta yang mana anta telah berjanji ingin membahagiakannya di dunia sehingga ke syurga firdausi tetapi anta sendiri tahu apakah akhirnya. Maafkan ana atas emosi ana ini.

Pagi terakhir itu, setelah usai solat subuh berjemaah, arwah Syakirah membaca Al-Ma'thurat dan mendengar surah-surah pilihan di laptopnya seperti hari-hari kebiasaannya. Ketika itu sahabat sebiliknya berada di meja belajar untuk menela'ah pelajaran PHISIOLOGY dan arwah berada di katilnya dan masih bertelekung. Tanpa disangka-sangka, arwah Syakirah tiba-tiba sesak nafas dan mengaduh sakit-sakit kaki dan tangannya. Nafas arwah berbunyi dengan kuat dan muka arwah kelihatan sangat pucat walaupun baru menelan ubat-ubatnya. Dengan segeranya, sahabatnya itu menelefon ketua musyrifah mereka, Kak Aisyah dan memberitahu tahap kesihatan arwah semakin membimbangkan. Mereka menyandarkan arwah dan meletakkan minyak but-but sambil mengurutnya dengan harapan agar arwah akan berasa lebih selesa dan seorang daripada mereka telah menelefon ibu arwah dan mohon doa dari keluarganya yang tercinta. Lebih kurang 20 minit kemudian, beberapa orang akhawat serta ikhwah sudah berkumpul di rumah mereka. Keadaan arwah tetap sebegitu dan arwah tidak henti-henti mengucap dua kalimah syahadah. Syukur lillah... Alhamdulillah, tetap lancar walaupun dalam keadaan tersekat-sekat... Lailahaillallah MuhammadarRasulullah..

Allah SWT lebih menyayanginya dan malaikat Izrail telah menjalankan tugasnya tepat pada waktunya. Akhirnya, arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dan atas restu dan redha keluarganya, arwah telah dikebumikan di kuburan Islam yang terletak dikawasan Kuburan Islam, Kaherah, Mesir. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan yang soleh dan semoga kita berjumpa lagi di Syurga Firdausi. Robbuna ma'ak. Amin ya Rabb.
Akhir kalam, ana mewakili arwah sahabat dunia akhirat ana dan diri ana sendiri untuk memohon beribu-ribu kemaafan dan mohon halalkan semuanya sejak perkenalan dengan kalian. Jazakallah khairon kasiro...

P/S: Semoga cerita ini dapat memberikan teladan dan pengajaran kepada diri ana dan juga semua pembaca. Semoga Allah sentiasa membuka pintu hati kita untuk menerima hidayah. Robbuna ma'ak~

No comments:

Post a Comment