Tuesday, April 23, 2013

Laa Tahzan Innallaha Ma'ana!

Kesedihan menyelubungi hati ini dan hati para insan diluar sana. Ditimpa ujian bertali arus bagai tiada hentinya. Dicuba berkali-kali untuk bangkit dan sebuah kejatuhan namun hanya sementara. Dia, Yang Maha Esa Maha Hebat dalam pencaturan dan perancangan. Dia Maha Tahu apa yang lebih baik dan terbaik untuk kita para hambaNya yang cukup lemah dan tiada terdaya.

Untuk diriku yang serba daif dan penuh kelemahan ini, telah kucuba bangkit dari kejatuhan yang sekian lama menyelubungi diriku. Air mata yang sentiasa mengalir ini bukti kepasrahan diri kepada ketentuanNya. Jihad dalam melawan hawa nafsu tersangatlah hebat dan kuat. Untuk meng-istiqamahkan diri tersangatlah payah sehingga kadangkala kemarahan, kekecewaan, kesedihan dan putus asa bertandang di sanubari. Ya, si syaitan durjana dengan gembiranya bermain-main di pelosok hati, kiri dan kanan, membisikkan kata-kata kelemahan dan kekurangan. "Sudah cukup sudah wahai fulanah, apa sahaja yang kau lakukan, kau takkan berjaya dan berhasil melakukannya. Kembalilah ke zaman kegelapan kau, itu lebih mudah dan seronok."





Astagfirullahal'azim. Bisikan itu terus menjelma datang dan kembali. Tiada henti. Tiada putus asa. Golongan 'mereka' ini berterusan menggunakan segala cara untuk menarik si peminjam hati untuk kembali ke jalan yang penuh songsang. Sekumpulan hawa nafsu juga turut berganding tenaga bagi meraih kejayaan dalam usaha menggagalkan si tuan yang lemah lagi bernafsu ini. Buat diriku dan dirimu, ingatan bersama; sedangkan 'mereka-mereka' ini tidak pernah merasa jemu dan putus asa dalam mengajak kita berbuat kemungkaran atau sekurangnya membisikkan hati kita untuk berhenti daripada berbuat kebaikan dan amal kebajikan, inikan pula kita? Kita juga seharusnya mengambil 'kekuatan' mereka ini untuk terus melawan arus dan beristiqamah dalam merasai takut dan cinta pada Sang Pencipta. SubhanAllahu wa bihamdih.

Andai rasa jemu dan malas, bangunlah, andai rasa sedih dan sakit hati, mengadulah pada Dia. menangislah pada Dia kerana Dia sahaja yang Maha Berkuasa dalam menentukan segalanya. Dan ingatlah, tanyakan pada diri; "Adakah aku ini cukup beriman? Adakah aku ini termasuk dalam golongan mukmin? Tahukah aku, bagaimana aku boleh mengatakan diri aku beriman selagi aku tidak diuji?" Allahuakbar! Sesungguhnya, diriku ini terlalu alpa dan lalai sehingga kurasakan akulah yang paling teruk diujiNya walhal ada sebilangan kaum lagi yang lebih teruk diuji. Diri ini mungkin kehilangan hati, tetapi mereka di luar sana telah kehilangan keluarga, harta, jiwa dan sebagainya. Allahurobbi. Diri ini terlalu mementingkan diri dan duniawi sehingga dikaburi dengan hasad dengki dan rasa tidak puas hati. Tidak bersyukurkan? Tidak redhakan?Astagfirullahal'azim.

Ketahuilah wahai diri, dikala Allah menurunkan ujian-ujianNya pada kita, tika itulah Dia mengirimkan kasih sayang dan rahmatNya yang tidak terhingga buat kita. Sesungguhnya, Dia sentiasa bersama kita siang dan malam, setiap detik, setiap saat mahupun kurang dari sesaat sehingga selamanya. Allahu Allah. Maka, usahlah bersedih lagi. Allah mahu diriku dan dikau kembali padaNya. Allah mahu aku dan kau menyedari bahawa Dia sahaja yang berkuasa untuk seisi dunia ciptaanNya. Usah mengalah dalam bertaubat. Usah mengalah dalam berubah. Usah mengalah dalam berbuat amal kebajikan. Biarkan mereka yang berhasad dengki dengan kita jangan kita pula yang menjadi seperti mereka. Allahu musta'an.

Hanya PadaMu aku bersujud dan memohon ampun dan rahmatMu ya Allah. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. Jalan yang Kau berikan rahmat kepada mereka yang terdahulunya dan bukan jalan orang yang Kau murkai dan bukan jalan orang yang sesat. Amin ya Rabb Al-Alamin.

Refleksi diri yang kian hanyut. Yang sedang mencari hati yang baru untuk terus melangkah ke alam yang baru.

Laa Tahzan, Innallaha Ma'ana.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment