Monday, October 31, 2011

Mencari Redha Atau Mencari Glamour?

Kasihan manusia ini, ramai di antara mereka membuat kerja-kerja yang tidak seimbang bahkan adakalanya membuat kerja-kerja yang sia-sia. Kerja dunia yang sementara serius mereka mengusahakannya. Dunia yang tidak lama bertungkus-lumus mereka mendapatkannya. Bukan sahaja dunia tidak lama yang disangka lama, hidup sampai ke tua ramai yang mati muda.

Ramai orang mengejar nama dan glamour, mereka tidak fikir lagi larangan Tuhan dan mereka menyangka glamour dan nama membawa bahagia. Kasihan mereka-mereka ini ditipu oleh angan-angannya. Mereka burulah nama dan glamour dengan bermacam-macam dan berbagai-bagai cara. Ramai orang kerana hendak nama dan glamor dia memanjat gunung, menyeberang, merenangi lautan, mengembara ke kutub,menggembara ke angkasa lepas dengan perbelanjaan yang sungguh mahalnya.

Apakah dapat bersembahyang atau tidak, tidak diambil kira, mereka lakukanlah bersusah payah untuk sanjungan manusia. Ada yang jatuh patah kaki, tidak kurang ada yang mati. Di waktu hendak nama dan glamor itu melanggar syariat atau as sunnah peduli apa, yang penting berjaya, yang penting membina nama, media massa membuat berita,yang penting ada nama, bukan senang hendak terkenal.

Begitulah manusia di hari ini kerana nama dan glamor sanggup mati kerananya, kalau kerana Tuhan untuk tidak berbuat bermacam-macam alasan. Susahlah, sibuklah tidak ada masalah kerana itulah solat Subuh sahaja ramai orang yang tertinggal. Mungkin juga solat dibuat tapi setelah matahari naik. Begitulah orang memperkecilkan Tuhan kerana berbagai-bagai alasan mengapa ditinggalkan kerana nama dan glamor tidak ada yang mustahil, boleh sahaja.

Segala yang diusaha dan diperolehinya ditinggalkan tidak boleh dibawa sedangkan untuk Akhirat yang kekal abadi, selama-lama telah dicuaikannya. Mereka pergi ke negara yang kekal abadi tidak membawa apa-apa. Bekal ke sana waktu di dunia telah dilupakannya seperti tidak beribadah atau beribadah membuat sambil lewa, tidak berjiwa asal ada sahaja. Pemurahnya tidak ada, maaf-bermaafan tidak biasa, berkasih sayang sesama manusia telah dilupa. Sabar dan redha tak usah dikata, memang tidak ada mengutamakan orang lain bukan budaya hidupnya. Ziarah-menziarahi bukan budayanya, menghormati hukum-hakam Tuhan di dalam hidupnya bukan disiplin hidupnya,

Islamnya hanya syahadah dan sedikit-sedikit ibadah lainnya itu pun bukan dari jiwa. Bertimbang rasa tidak dianggap agama, jiran tidak dianggap macam keluarga yang ada dia memikirkan kepentingan dirinya dan keluarga atau kroni-kroninya. Orang miskin, susah, dapat bala peduli apa! Yang dibawanya ke Akhirat ialah sifat sombong, tamak, bakhil, pemarah, zalim, megah, riak, ujub, di samping lupa Tuhan, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan.

Di waktu ketika hendak mati masih di dalam angan-angan lagi ingin menambah harta, mencari nama, ingin glamor. Ketika itu juga masih hasad dengki, masih menghina orang, masih mengangkat diri, ajal pun sampai, mati tidak membawa apa-apa kebaikan, dengan kata-kata lain tidak membawa sifat taqwa sebagai bekal. Yang dibawanya hanya sifat-sifat mazmumah yang bernanah di dalam jiwanya. Aduh malang sekali, dia pergi ke Akhirat membawa barang-barang yang dimurka untuk ke Neraka, barang-barang yang dibawa untuk ke Syurga tidak ada, maka rugilah dia sepanjang masa buat selama-lamanya.


na'uzubillahi min zalik.. Allahurobbi~

Friday, October 21, 2011

Keadaan Manusia Di Padang Mahsyar~

Setelah semua mahkluk yang bernyawa di alam nyata ini mati dan hancur binasa, Allah SWT memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan sangkakala yang hebat itu untuk menghidupkan semula semua mahkluk yang sudah mati.

Israfil meniup dan berteriak dengan sekuat-kuatnya: "Wahai nyawa yang telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah buruk, urat yang telah putus berkecai, kulit-kulit yang telah pecah hancur, rambut-rambut yang telah luruh! Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman dari Allah SWT yang menjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!".

Maka dengan tiba-tiba mereka pun tegak bangun berdiri. Mereka lihat langit, didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah, tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada dihadapan mereka. Dilihat matahari telah hilang cahayanya.

Maka sedarlah dan tahulah mereka bahawa mereka berada ditempat yang dijanjikan kiamat.Lantas mereka berkata: "Inilah dia sebagaimana yang telah Allah janjikan dan inilah menunjukkan kebenaran para Rasul."

Seperti yang telah Allah sebutkan dalam Al-Quran: "Mereka berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?, Lalu dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul !" (Surah Yassin: 52)

Mereka pun keluar dari kubur tanpa pakaian, tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang pun dibadan. Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan bermacam-macam rupa.

1. Sesetengah mereka ada yang berupa kera kerana di dunia mereka suka membuat fitnah kepada orang lain.

2. Ada yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah ketika menjalankan hukuman.

3. Ada yang buta mata kerana keterlaluan pada menghukum manusia.

4. Ada yang pekak dan bisu kerana mereka hairan dengan amalan yang mereka lakukan.

5. Ada yang mengalir daripadanya nanah dan darah yang amat busuk dan sentiasa menikam-nikam lidah sendiri. Ini adalah kumpulan ULAMA yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama dengan apa yang diucapkan.

6. Ada pula yang luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi saksi bohong.

7. Ada yang telapak kaki mereka terletak didahi dan terikat kepada ubun-ubun mereka serta menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).

8. Ada seperti orang mabuk, rebah ke kiri, rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah yang sanggup menyimpan harta dari belanjakan ke jalan Allah.

9. Ada yang berkeadaan benar-benar mabuk,orang ini suka bercerita-cerita dalam masjid akan hal dunia.

10. Ada yang berupa khinzir karena suka makan harta riba.

11. Ada yang tidak bertangan dan tidak berkaki. Mereka ini suka menyakiti orang-orang sekampungnya.

12. Ada yang berupa khinzir karena mereka mempermudah-mudahkan sembahyang lalai dalam sembahyang)

13. Ada pula yang bangkit dengan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini di dunia payah hendak mengeluarkan zakat.

14. Ada yang berkeadaan dimana darah yang amat busuk sentiasa keluar dari mulut mereka. Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.

15. Ada yang sampai terasing daripada manusia serta badannya sangat busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia,tidak takut pada Allah.

16. Ada yang terpotong halkum,keadaannya tercerai dari leher. Orang ini selalu sanggup untuk bersaksi bohong.

17. Ada yang bangun dari kubur tiada berlidah dan mengali darah busuk dari dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.

18. Ada pula yang berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas langit.Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka.Mereka itu suka berbuat zina semasa hidup.

19. Ada yang berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan api neraka.Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.

20. Ada pula yang bangun dengan mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.

21. Ada yang gigi mereka seperti tanduk lembu, lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari perut mereka. Mereka adalah orang yang suka meminum arak.semoga kita tergolong dalam golongan yang segera menginsafi diri dan bertaubat di atas dosa dan pengkhianatan yang dilakukan terhadap sesama manusia.





semoga yang tidak baik itu dijauhkan dari kita semua.. na'uzubillahi min zalik.. dan semoga kita mendapat husnul khatimah.. amin ya rabb.. wallahu'alam~



Saturday, October 8, 2011

Menghina Diri Itu Amalan Hati~

Merasakan diri hina itu satu sifat yang mulia. Ia satu dari sifat kehambaan. Ia timbul dari merasakan bahawa Tuhan itu Maha Mulia. Merasakan Tuhan itu Maha Mulia ialah satu dari rasa-rasa bertuhan. Sebaik sahaja kita dapat merasakan Allah itu Maha Mulia, maka dengan secara spontan kita akan merasakan bahawa diri kita itu terlalu hina di sisi-Nya.

Lawannya ialah rasa diri mulia. Ini satu sifat yang tercela. Rasa diri mulia bukan satu sifat kehambaan tetapi ia lahir dari sifat ketuanan yang bersarang di hati kita. Kita rasa kita tuan. Kita rasa kita lebihdari orang lain. rasa diri tuan itu syirik khafi (syirik tersembunyi) hukumnya. Kita sudah hampir hendak menyamakan kedudukan dan taraf kita dengan Tuhan. Kita hendak pakai apa yang menjadi pakaian Tuhan. Ia tumbuh dari sifat kibir, ego, angkuh dan sombong.

Sifat kibir, ego, angkuh atau sombong ini, semua orang ada. Hanya ada yang kuat mengawalnya dan ada yang lemah mengawalnya. Kibir atau ego ini ibarat harimau yang sedang tidur. Bagi orang yang kuat mengawalnya, kalau dicabar, harimau itu akan terjaga tetapi ia tidak menerkam dan tidak membaham mangsanya. Tetapi bagi orang yang lemah mengawalnya, kalau dicabar, akan marah dan akan bertindak terhadap orang yang mencabarnya.

Lebih hina kita rasakan diri kita di sisi Tuhan, maka lebih tajam dan lebih mendalamlah sifat kehambaan kita dan lebih tinggilah darjat kita di sisi Tuhan. Sebaliknya, lebih mulia kita rasakan diri kita, maka rosaklah sifat kehambaan kita dan hinalah kita di sisi Tuhan.

Hina diri itu ialah amalan hati. Tidak payah disebut-sebut dan tidak payah ditunjuk-tunjuk. Kalau disebut-sebut, takut-takut ianya bukan datang dari hati. Ini sumah namanya. Kalau ditunjuk-tunjuk dan ia bukan datang dari hati, maka ini riyak pula namanya.

Di dalam kita menghina diri, tidak payah kita tunjuk kotor seperti menyapu kotoran atau najis ke tubuh badan kita contohnya. Ini sudah jatuh haram. Ramai orang tunjuk kotor seperti peminta sedekah dan kaki dadah tetapi hati-hati mereka penuh dengan ego dan keangkuhan. Mudah sahaja mereka ini menipu manusia dan berbuat maksiat kepada Tuhan.. na'uzubillahi min zalik...



wallahu'alam~