Tuesday, June 28, 2011

Tangisan Ahli Neraka yang Amat Dasyat~

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya. ( Surah Ali Imran : 104 )


Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad SAW) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): Tidak datang kepada kami seorang pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami). Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Surah Al Maidah : 19 )


PENJENAYAH di penjara memiliki gelaran paling buruk yang diberi oleh masyarakat kerana membenci perbuatan mereka. Si pencuri, perompak, perogol dan pembunuh. Walaupun bertaubat atau tamat tempoh tahanan, jarang masyarakat boleh menerima bekas banduan ini. Kalau pun boleh, pasti mereka akan sentiasa berwaspada dan curiga. Betapa hebatnya kebencian kepada perbuatan jenayah.


Dapatkah bayangkan keadaan manusia ketika berada di mahkamah Allah nanti?


Pada hari penghisaban, apakah akan terasa malu seperti si penjenayah yang malu apabila kesalahannya menjadi bahan laporan dalam akhbar? Bolehkah muka ini ditutup?


Bolehkah mengupah peguam paling hebat untuk menghadapi segala pertuduhan ke atas diri sendiri? Mungkinkah semua orang boleh dibeli dengan wang dan pengaruh? Adakah ada jalan untuk melarikan diri?


Kita manusia yang kerdil, tetapi mengapa berlagak seperti Tuhan Pemilik segalanya? Manusia bertingkah seperti syaitan, padahal dia berada dalam genggaman Tuhannya. Ketika dia merampas hak orang lain, segala rekod perbuatannya itu disimpan kukuh sebagai bukti.


Mengapakah Allah SWT tidak menurunkan bala-Nya terus menerus pada saat seseorang itu melakukan dosa? Jawapannya adalah firman Allah bermaksud: "Berapa banyak penduduk negeri yang telah Aku beri tempoh, sedangkan mereka berbuat zalim, kemudian Aku seksa mereka dan kepada-Ku mereka kembali." (Surah al-Hajj, ayat 48)


Biarlah pelaku dosa itu diberi tempoh selagi hayatnya di atas bumi ini belum berakhir. Allah Maha Penerima Taubat. Tetapi, sayang sekali, mereka suka menunda taubat, menganggap peluang itu untuk berpuas-puas terlebih dulu dan bertaubat kemudian.


Semakin dihulur setiap peluang, maka semakin buta matanya, pekak telinganya, keras hatinya dan hebat bergaya mengalahkan syaitan.


Diteguk segala kemanisan syahwat duniawi sehingga lupa kepanasan buah zaqqum tanaman neraka yang akan diletakkan di dalam kerongkongnya nanti.


Hatinya puas menikmati kesenangan yang memuncak pada hujung keghairahan. Tetapi, dia lupa di dasar lubang jahanam yang gelap itu nanti terpaksa melalui aksi pembakaran manusia, penyeksaan dan pembunuhan yang tidak pernah berhujung dengan kematian.


Jurang neraka terlalu curam, setiap penderhaka akan merasai seksa dihumbankan ke dalamnya. Pernahkah kita membayangkan jatuh dari ketinggian sejauh 70 tahun perjalanan baru sampai ke dasar lantainya? Jika kejadian itu di dunia ini, bagaimana pula keadaan orang yang jatuh ke dasar jurang neraka itu nanti?


"Pada suatu hari kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh. Lalu Baginda bertanya: "Tahukah kamu semua suara apakah itu?" Kami menjawab: "Allah dan rasul-Nya lebih mengetahui." Baginda bersabda yang maksudnya: "Ituadalah suara batu yang dilemparkan ke dalam neraka jahanam sejak 70 tahun yang lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya." Hadis riwayat Imam Muslim


Sesungguhnya mereka yang berada dalam neraka itu hidup dan merasai setiap kesakitan itu sedikit demi sedikit. Diganti setiap kulit yang hangus dengan kulit yang baru. Sehari di sana sama seperti seribu tahun di dunia ini.


Mengapakah mereka memilih kesenangan haram yang sebentar saja di dunia ini? Pada hal mereka pandai mengira, tahu membezakan makna sengsara dan bahagia, berakal tajam dalam menganalisis segala sesuatu. Allah mengingatkan kita bahawa azab dan sengsara yang akan diderita itu bukan sebentar. Firman-Nya bermaksud; "Sesungguhnya sehari di sisi Tuhanmu seperti seribu tahun daripada apa yang kamu hitung." (Surah al-Hajj, ayat 47)


Bagaimanakah suara tangisan ahli neraka? Pernahkah anda mendengar tangisan orang yang dipisahkan daripada keluarganya? Tangisan orang yang menderita sakit dan terpaksa disuntikkan ubat penahan sakit? Tangisan orang yang kematian anak yang disayang? Tangisan orang yang gagal dalam kerjaya? Tangisan perempuan yang disakiti suaminya? Tangisan orang kaya yang muflis? Tangisan ibu dan bapa yang disakiti anaknya?


Semua jenis tangisan di atas dunia ini tidak sehebat tangisan ahli neraka. Tangisan yang mengalirkan penyesalan tidak berhujung. Tiada harapan dan peluang.


Mereka merayu kepada Tuhan: "Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya (kembalikanlah kami ke dunia) maka jika kami kembali kepada kekufuran, sesungguhnya kami adalah orang yang zalim." (Surah Al-Mukminun, ayat 107)


Allah menjawab rayuan mereka itu dengan firman-Nya bermaksud: "Tinggallah kamu dengan hina di dalamnya dan janganlah kalian bercakap dengan Aku." (Surah al-Mukminun, ayat 108)


Oleh itu, jika anda menangis di dunia ini, pastikan tangisan itu adalah tangisan penyesalan dan taubat kepada Allah .


Barang siapa yang banyak menangis di sini, nescaya tiada air mata lagi yang akan jatuh menitis di Padang Mahsyar nanti.


Balasan Allah sangat adil. Saksi yang dipanggil adalah anggota badan kita sendiri. Menunduklah wajah yang dulunya terngadah sombong, kecutlah hati yang dulunya bongkak dan bengkak serta menggigil sekujur badan bagai hendak melepaskan kulit.


Lalu kita bertanya, layakkah aku mendapat perlindungan Allah ? Jawapannya payung Allah itu hanya untuk tujuh golongan saja.


~Pemimpin yang adil.
~Pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah semasa hidupnya.
~Seseorang yang hatinya sentiasa terpaut dengan Masjid.
~Dua orang yang saling mencintai kerana Allah , keduanya berkumpul & berpisah kerana Allah .
~Seorang lelaki yang diajak oleh seorang perempuan cantik & berkedudukan untuk berzina tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah ".
~Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.
~Seseorang yang mengingat Allah di waktu sunyi sehingga bercucuran air matanya.

Monday, June 20, 2011

Khutbah terakhir Rasulullah SAW~

Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijah Tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.

Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan!, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata ku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnah ku.

Hendaknya orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dari ku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah ku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMU."

Friday, June 10, 2011

6 perkara Allah SWT sembunyikan~

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).  Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:
"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?"

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang Nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail as selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud:

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.... .."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah SWT telah menyembunyikan enam perkara iaitu :

* Allah SWT telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
* Allah SWT telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah SWT telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah SWT telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah SWT telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah SWT telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.